Saturday, January 10, 2009

UJIAN TERHADAP DUNIA ISLAM

Keganasan Israel laknatullah telah masuk hari yang ke 14. Walaupun Majlis Keselamatan PBB telah membuat resolusi menggesa genjatan senjata, namun askar Israel masih terus menggempur Gaza. Kesannya, kerugian yang amat besar kepada Palestin. Bukan sahaja dalam bentuk harta benda bahkan juga kehilangan nyawa khususnya kaum perempuan dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Amat malang sekali.

Inilah rupa ujian Allah SWT bukan sahaja kepada Palestin, negara-negara Arab bahkan juga kepada semua umat Islam sekelian. Allah ingin menduga keimanan dan perjuangan muslimin dan muslimat terhadap saudara-saudara seagama yang diperang oleh yahudi.

Marilah sama-sama berjihad membela Islam sebagaimana firman Allah:

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat (iaitu sama ada dalam keadaan susah atau senang , bersemangat atau tidak semangat); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." ( At Taubah: 41)

Walaupun kita tidak mampu berjihad dengan menyabung nyawa, namun disamping berdoa, bersembahyang hajat dan lain-lain amalan, kita juga dituntut menginfakkan wang ringgit dan harta benda kita kepada tabung membantu palestin. Walaupun kita mampu hanya beberapa sen, namun beberapa sen itulah yang mencukupkan beberapa juta ringgit.

Marilah kita menyumbang yang terdaya dan berdoa agar Allah SWT akan memberi ketabahan kepada rakyat palestin mengharungi ujian yang amat getir ini. Semoga mereka akan menerima ganjaran yang lebih baik di hari muka, Amin.

Tuesday, December 30, 2008

SELAMAT MAAL HIJRAH DAN TAHUN BARU

Kelahiran tahun baru membawa seribu kenangan dan harapan kepada kita semua. Sepanjang setahun yang lalu, penulis telah mengalami kehidupan yang selesa dan bahagia. Kini berkesempatan berkunjung ke rumah anak di London dan telah melancong ke Barcelona beberapa hari yang lalu. InsyaAllah akan singgah Di Amsterdam sebelum balik ke Malaysia. Syukur kepada Allah SWT. Diharap pembaca juga memperolehi kesejahteraan, kedamaian dan kebahagiaan. Jika peristiwa sedih telah menyelubungi kehidupan anda, usah berduka, Allah menguji kita sebenarnya. Teguhkan iman dan bersabar. Dia akan memberi yang lebih baik.

Tahun baru Hijrah telah bermula, menakala tahun baru 2009 akan menjelma sebentar lagi. Marilah kita bermuhasabah diri dan berazam semoga di tahun baru ini kita akan menjadi seorang muslim yang lebih baik dengan mengamalkan amar makruf nahi mungkar.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa rahmati hidup kita di sepanjang tahun baru ini. Amin

Saturday, December 20, 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU MAWI DAN EKIN

Selamat Pengantin Baru kepada artis popular, Mawi dan Ekin. Semoga mereka akan melayari kehidupan yang sentiasa aman, berbahagia dan berkekalan ke akhir hayat. Berikut adalah upacara akad nikah yang telah diadakan di Masjid Sultan Abu bakar, Johor baharu:



Kepada yang sekian lama menaruh hati kepada Mawi, usah berduka, redhakan perkahwinan mereka dengan hati yang terbuka.Semoga mereka berbahagia dan dirahmati Allah S.W.T. Amin.

Friday, December 12, 2008

ANTARA JUARA DAN YANG TEWAS

Adakah anda tahu ciri-ciri orang yang menjadi Juara dan Yang Tewas? Berikut adalah diantara ciri-ciri yang harus dijadikan renungan bersama:


  1. Juara membuat kesilapan dan mengaku dirinya bersalah. Yang tewas berkata itu bukan kesalahannya.
  2. Juara memuji nasib baiknya kerana menang, tetapi ia bukan nasib baik. Yang tewas menyalahkan nasib buruk kerana kalah, tapi ia bulan nasib buruk.
  3. Juara berkerja lebih kuat dari yang tewas dan ada lebih banyak masa untuk berehat. Yang tewas sentiasa sibuk, terlalu sibuk mengekalkan kegagalannya.
  4. Juara menembusi masalah, yang tewas mengelilinginya.
  5. Juara menunjukkan kekesalannya dengan tidak mengulanginya. Yang tewas meminta maaf tetapi dia ulangi lagi setelah itu. (Anonim)

Jika anda mempunyai ciri-ciri Juara, syabas. Teruskan amalan dan semoga mencapai kejayaan . Namun, jika anda mempunyai satu atau lebih ciri-ciri orang yang tewas, usah berduka, bertaubat, perbaiki sikap dan tindakan anda. Mudah-mudahan Allah S.W.T. akan terima taubat anda dan memberi taufik dan hidayahNya. Amin

Wednesday, December 10, 2008

TANDA KEBAHAGIAAN DAN KECELAKAAN

Setiap insan inginkan kebahagiaan. Bagi umat Islam, kita bukan sahaja ingin kebahagiaan di dunia,bahkan juga di akhirat.Namun, dalam kesibukan mengejar kebahagiaan , sebenarnya kita menuju kecelakaan? Betul ke? Cuba kita lihat tanda-tanda kebahagiaan dan kecelakaan sepertimana tercatat dalam kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan Bagi Yang Lupa):

Tanda Kebahagiaan
  1. Tidak kasih kepada dunia (zuhud) dan cinta kepada akhirat
  2. Sentiasa ingin beribadah dan membaca Al-Quran
  3. Sedikit berbicara hal yang tidak perlu
  4. Sentiasa memelihara solat lima waktu
  5. Warak terhadap barang haram dan syubahat, sedikit atau banyak
  6. Bersahabat dengan orang yang baik-baik
  7. Bersikap tawadduk, tidak sombong
  8. Dermawan dan pemurah
  9. Belas kasihan terhadap makhluk yang dicintai Allah
  10. Bermanfaat bagi Makhluk
  11. banyak mengingati mati

Tanda kecelakaan

  1. Rakus dalam mengumpulkan harta
  2. Keinginan hanya untuk memuaskan syahwat dan mencari keenakan dunia
  3. Ucapannya kotor dan suka memburukkan orang
  4. Meremahkan solat lima waktu
  5. Bergaul dengan orang yang berbuat dosa
  6. Buruk budi pekertinya
  7. Berlaku bongkak dan sombong
  8. Tidak memberi manfaat kepada manusia
  9. Sedikit belas kasihnya terhadap orang-orang yang beriman
  10. kikir
  11. Tidak ingatkan mati

Syukurlah jika amalan kita menepati tanda-tanda kebahagiaan. Bagi yang amalannya masih tergulung dalam kategori kedua,usah berduka, marilah kita insaf dan bertaubat. Allah telah berfirman:

"Dan (sebahagian ) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur-adukkan amalan yang baik dengan amalan yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka.Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani." (Al- Taubah:102)

Mudah-mudahan taubat kita diterima Allah dan sama-sama berubah menuju kebahagiaan.

Monday, December 8, 2008

SELAMAT HARI RAYA KORBAN

Tidak terlewat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha atau Korban. Pada hari yang mulia ini , marilah kita menghayati penggorbanan besar yang dilakukan oleh nabi Ibrahim a.s dan keluarganya.

Demi mematuhi perintah Allah S.W.T., nabi Ibrahim a.s. telah sanggup berkorban menyemblih putra yang dikasihi.Sementra Siti Hajar telah sanggup berkorban ditinggalkan di tempat yang kering kontang. Menakala, nabi Ismail a.s. ,walaupun masih kecil sanggup dikorbankan demi taat kepada perintah Allah S.W.T. dan ayahandanya, nabi Ibrahim a.s.

Peristiwa penggorbanan nabi Ibrahim a.s.sekeluarga jelas mengajar kita, umat Islam untuk sanggup berkorban apa jua tanpa kira tua atau muda, lelaki atau perempuan demi menegakkan syiar Islam.

Bagi sdra/sdri yang berkesempatan mengerjakan amalan korban lembu,unta, alhamdulillah. Fakir miskin berpeluang menikmati daging korban yang mereka sumbangkan.

Kepada mereka yang tidak berkesempatan merayakan hari yang mulia ini sepenuhnya, usah berduka. Mungkin ada hikmah disebalik kesulitan, keuzuran, keperitan yang dialami. Bersabar, mudah-mudahan Allah akan mengurniakan ganjaran yang setimpal, insyaAllah.

Saturday, December 6, 2008

TRAGEDI TANAH RUNTUH DI BUKIT ANTARABANGSA

Kita dikejutkan dengan berita tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pagi ini. Sehingga kini, tiga mayat dijumpai, 15 cedera, 1500 penduduk tidak dapat bekalan eletrik dan antara 3,000 hingga 5,000 penduduk perlu dipindahkan keluar daripada kawasan ini, disamping kemusnahan harta benda yang tidak ternilai. Beginilah penentuan Allah SWT.

Kepada keluarga mangsa, kita ucapkan takziah diatas dugaan Allah SWT yang sungguh berat untuk ditanggung ini.Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita doakan semoga mereka yang terlibat diberi kesabaran dan petunjuk agar dapat menerima dan redha dengan ujian yang berat ini. Rasulullah telah bersabda:

"Tiga macam siapa yang mendapatkannya,maka ia telah mencapai kebaikan dunia akhirat: Redha pada qadha dan qadar, sabar atas bala ujian, dan berdoa di waktu senang."(Riwayat Ibn Mas'ud r.a.)

Kepada pihak berwajib, kita berharap agar mereka benar-benar bertegas untuk tidak meluluskan projek-projek perumahan di lereng bukit. Sikap hangat-hangat tahi ayam perlu dihindarkan bagi menggelakkan peristiwa serupa ini berlaku dimasa hadapan.

Renungilah:

Tanah Runtuh
Membawa kehilangan jiwa
Kecederaan , penderitaan
kemusnahan harta benda
Itu semua bala ujian
Yang harus diterima
Dengan redha dan sabar
Rasulullah bersabda
Siapa dapat
Redha pada Qadha dan Qadar
Sabar atas bala ujian
Dan
Berdoa di waktu senang
Maka
Ia telah mencapai
Kebaikan dunia akhirat.